SELANGOR

Belanjawan’19: JPS bakal terima peruntukan RM89.2 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM89.2 juta disediakan kepada Jabatan pengairan dan Saliran (JPS) bagi menangani isu banjir dan saliran.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM47.56 juta bagi tujuan pembangunan projek tebatan banjir dan sebanyak sembilan projek fizikal telah disiapkan pada 2018.

“Antara projek yang dapat memberikan impak bagi mengurangkan kesan banjir kilat adalah Projek Tebatan Banjir di Sungai Semenyih di Kampung Batu 3 dan kerja-kerja berkaitan Mukim Semenyih Daerah Hulu Langat. Projek ini telah disiapkan pada 24 April 2018.

“Skop kerja bagi projek ini adalah pelebaran sungai, pembinaan ‘drop structure’ dan juga struktur pengukuhan tebing seperti counterwall, armour rock dan geobag. Kejadian banjir akan berlaku setiap musim monsun melanda.

“Namun setelah projek siap, sehingga kini tiada kejadian banjir berlaku di kampung yang terlibat,” katanya.

Selain itu, sejumlah RM22.59 juta pula disediakan bagi tujuan projek Menaiktaraf Sistem Saliran dan antara projek 2018 adalah di Kawasan Sungai Kandis, Daerah Klang.

“Projek ini juga telah memberikan impak positif dalam mengurangkan kejadian banjir kilat. Kawasan terlibat adalah kawasan perindustrian di Jalan Dato’ Sellatheivan dan banjir kilat sering terjadi jika hujan lebat berlaku.

“Projek ini telah siap pada 13 Januari 2018 melibatkan kos sebanyak RM13.523 juta. Skop utama projek ini adalah pembinaan struktur tebatan banjir menggunakan ‘post and panel system’, kerja mendalamkan sungai dan juga menggantikan jambatan,” katanya.

 


Pengarang :