SELANGOR

Belanjawan’19: Kawasan luar bandar bakal nikmati internet lebih laju

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV: Beberapa lokasi luar bandar di negeri ini bakal menikmati kemudahan internet jalur lebar lebih laju berbanding sebelum ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkhidmatan jalur lebar sehingga satu ‘gigabyte’ per saat itu akan diteruskan di empat daerah yang berpotensi untuk pembangunan ekonomi.

“Ia termasuk Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor di gugusan utara sementara Kuala Langat bagi gugusan selatan.

“Tumpuan akan dijuruskan kepada penyediaan infrastruktur fiber optik dan lain-lain teknologi yang membolehkan kecapaian ‘gigabytes’ merangkumi seluruh kawasan berpenduduk dan industri,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, hasrat itu akan direalisasikan dengan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Telekom Malaysia.

Katanya, kerjasama itu bagi meneroka potensi dana USP (Universal Service Provider Fund) dan diagihkan pelaksanaannya terutama sekali untuk penduduk luar bandar di negeri ini.

“Dengan adanya infrastruktur telekomunikasi yang mantap dan berdaya saing, rakyat Negeri ini boleh menikmati banyak kemudahan yang melibatkan penggunaan jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Para pengusaha industri juga mampu untuk berdaya saing di peringkat global terutama dalam ‘Manufacturing 4.0’,” katanya.


Pengarang :