SELANGOR

Belanjawan’19: Kerajaan Negeri catat prestasi kewangan baik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 NOV – Kerajaan Negeri mencatat prestasi kewangan baik dengan kedudukan rizab semasa sebanyak RM2.34 bilion, pada 15 November lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perolehan jumlah wang awam Kerajaan Negeri terdiri daripada wang tunai dan pelaburan dipegang bagi ketiga-tiga Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM2.84 bilion.

Katanya, tiga Kumpulan Wang Disatukan itu adalah Akuan Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan, pada 31 Disember 2018.

“Pengurangan rizab semasa sebanyak RM503.12 juta berbanding akhir 2017 selaras dengan perancangan belanjawan diluluskan bagi tujuan mensejahterakan ekonomi dan kehidupan rakyat, di Selangor.

“Belanja Pembangunan sudah mencapai tahap 74.76 peratus, manakala Belanja Mengurus mencatatkan 75.18 peratus,” katanya, di Dewan Annex di sini, hari ini.

Beliau berkata, kutipan sebenar hasil negeri bagi 2017 pula sebanyak RM2.81 bilion iaitu Hasil Cukai mencatatkan kutipan RM666.38 juta, Hasil Bukan Cukai (RM1.93 bilion) dan Terimaan Bukan Hasil (RM214.62 juta).

Sehingga 15 November lalu, katanya, Kerajaan Negeri mencatatkan kutipan hasil RM1.79 bilion iaitu 79.55 peratus daripada anggaran hasil bagi 2018 sebanyak RM2.25 bilion.

“Diunjurkan pada 31 Disember ini, Kerajaan Negeri akan berjaya mengutip hasil berjumlah RM1.89 bilion bersamaan 84 peratus daripada sasaran RM2.25 bilion.

“Hasil Cukai mencatatkan kutipan RM612.18 juta (95.24%), Hasil Bukan Cukai RM 30.07 juta (66.74%) dan Terimaan Bukan Hasil RM247.62 juta (115.91%),” katanya.


Pengarang :