SELANGOR

Belanjawan’19: Kerajaan Negeri terus jaya Skim Peduli Sihat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri akan meneruskan Skim Peduli Sihat yang terbukti memberi impak positif kepada kehidupan rakyat, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program di bawah agenda Inisitif Peduli Rakyat (IPR) terbabit jelas mendapat perhatian dan diterapkan dalam Manifesto Pakatan Harapan, pada Pilihanraya Umum ke-14 lalu.

“Selaras dengan dasar federalisme dilaksanakan, pemurnian senarai penerima kas peduli sihat dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri akan dilaksanakan.

“Ia sebagai usaha mengesahkan kelayakan penerima supaya Skim Peduli Sihat dapat diteruskan dengan memberi manfaat kepada keluarga yang benar-benar berkelayakan menerimanya.

“Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM10 juta bagi skim ini pada tahun depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri bercadang melaksanakan kursus perkahwinan dan kekeluargaan lebih komprehensif merangkumi isu pengurusan kewangan, emosi dan spiritual, penjagaan anak dan pengurusan keluarga.

Katanya, langkah itu dirancang ekoran Selangor mencatat jumlah kes penceraiaan sangat membimbangkan.

“Kursus dan program pembangunan kekeluargaan akan menggantikan Insentif Perkahwinan Belia dan Kerajaan Negeri akan menggunakan peruntukan bagi insentif berkenaan bagi melaksanakan kursus kekeluargaan komprehensif kepada pasangan baharu berkahwin.

“Pelaksanaan program pembangunan kapasiti dalam bidang kekeluargaan dan kerohanian memberi impak berterusan untuk jangka masa panjang kepada pasangan berkaitan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, program pemantapan institusi kekeluargaan dengan kerjasama agensi lain seperti Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara dalam mengukuhkan modul serta kursus perkahwinan dan kekeluargaan (Smart Start dan Parenting) sedia ada.


Pengarang :