Selangorkini
SELANGOR

Belanjawan’19: MBI yakin mampu laksana Rumah Mampu Milik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 NOV: Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yakin mampu menyelesaikan projek rumah mampu milik seperti disasarkan dalam Belanjawan Selangor 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman berkata, MBI yakin Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kawasan terbabit akan memberi kerjasama dalam memberi kebenaran merancang.

“Kesemua tanah ini adalah tanah milik MBI, maka sudah tiada masalah untuk MBI menjayakan projek perumahan mampu milik ini.

“MBI juga akan mendapatkan pemaju yang berkelayakkan untuk menjalankan kerja projek ini,” katanya kepada Media Selangor selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2019 di Dewan Negeri Selangor di sini, semalam.

Projek terbabit membabitkan sebanyak 5,000 unit di Bangi Lama (1,100), Sungai Sering Hulu Klang (2,500) dan Paya Jaras (1,400).

Terdahulu, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan MBI akan membina rumah mampu milik berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi.

Rumah berharga tidak melebihi RM250,000 itu juga dilengkapi dua parkir kereta, perabot seperti kabinet dapur, pemanas air dan penghawa dingin di setiap bilik.

“Kerajaan Negeri mensasarkan pembinaan sebanyak 30 ribu rumah dalam masa lima tahun demi memenuhi cita-cita ini,” kata Amirudin.


Pengarang :