SELANGOR

Belanjawan’19: Pasar dinaiktaraf, Smart Selangor Toilet bakal diperkenalkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi menaik taraf pasar-pasar di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berstatus majlis daerah kepada pasar moden.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pasar yang moden dan bersih serta mempunyai kemudahan yang baik berpotensi untuk menarik lebih ramai pengunjung dan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi peniaga tempatan.

“Dengan bilangan pengunjung yang ramai, Kerajaan Negeri berpendapat, adalah baik sekiranya pasar tersebut dijadikan sebagai satu platform yang dikenali sebagai Pusat Khidmat Setempat untuk membolehkan orang awam mendapatkan perkhidmatan yang bersesuaian daripada PBT masing-masing.

“Pusat Khidmat Setempat ini boleh dibuka sekurang-kurangnya dua kali seminggu di mana ia juga wajar digunakan oleh Ahli Majlis atau wakil rakyat sebagai satu medium engagement bersama komuniti setempat,” katanya.

Di samping itu, Kerajaan Negeri turut mencadangkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi Smart Selangor Toilet (SST) dalam membantu usaha menaik taraf tandas di premis makanan termasuk membuat promosi secara meluas berkenaan kepentingan kebersihan tandas di premis-premis makanan.

Selain itu, turut dicadangkan satu pengiktirafan diberikan kepada premis makanan yang menyediakan kemudahan tandas yang bersih dan baik sama ada dengan pemberian sijil, penarafan gred kualiti tandas, insentif berbentuk wang tunai ataupun lain-lain insentif yang sesuai.

“Isu kebersihan tandas awam bukan perkara baru di Malaysia khususnya yang melibat premis-premis makanan seperti di medan selera dan restoran.

“Imej sesebuah premis makanan kadang kala tercemar hanya kerana kemudahan tandas yang disediakan kepada pengunjung dalam keadaan yang tidak memuaskan,” katanya.

 


Pengarang :