SELANGOR

Belanjawan’19: RM1.42 juta laksana kajian pembangunan bandar, desa

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 23 NOV: Sejumlah RM1.42 juta dicadang diperuntukkan bagi melaksanakan kajian pembangunan bandar dan desa melalui Kajian Rebakan Bandar Selangor, pada 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kajian itu bertujuan mengenal pasti had pembangunan rebakan bandar (urban sprawl) dan tren pembangunan fizikal yang akan memacu kualiti serta imej perancangan bandar Selangor.

“Kerajaan Negeri sangat prihatin dalam memastikan persekitaran mampan dan kehidupan komuniti sejahtera, supaya isu daya huni bandar ditangani.

“Oleh itu, amat perlu mengawal keseimbangan pembangunan untuk mengelakkan pencerobohan kawasan sensitif alam sekitar, kawasan tadahan semula jadi dan kawasan pertanian utama, di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019, di Dewan Annex, di sini.

Katanya, dalam melaksanakan pemajuan dan pembangunan fizikal pesat, Kerajaan Negeri turut menekankan serta menitik beratkan usaha pemeliharaan juga pemuliharaan warisan, sama ada dalam bentuk geologi semula jadi, adat budaya mahupun bangunan lama.

Justeru, katanya, RM1.3 juta diperuntukkan di bawah myPlan Malaysia untuk meneruskan lagi usaha mempromosi Permatang Kuarza bagi mendapat pengiktirafan UNESCO dalam kategori warisan semula jadi sebagai tapak warisan kebangsaan dan tapak warisan dunia.

“Kerajaan Negeri akan membuat publisiti berimpak tinggi bagi mengangkat pencalonan tapak Permatang Kuarza Gombak Selangor kepada pihak World Heritage Committee baik di dalam mahupun luar negara menerusi multimedia, dokumentari dan penyertaan pameran, di persidangan antarabangsa.

“Warisan bernilai seperti ini harus dikekalkan dan dirancang secara holistik tanpa ada unsur pencerobohan yang boleh menggugat dan menghilangkan warisan yang terbentuk jutaan tahun dahulu.

“Kerajaan Negeri berharap dengan kepelbagaian biologi dan geologi di kawasan berkenaan, ia dapat dijadikan rujukan pengkaji dalam bidang berkaitan serta terus unggul sebagai legasi kepada generasi akan datang,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri tidak akan mengenepikan dan membuat pengenal pastian ke atas tapak warisan lain untuk diberi pengiktirafan serta dipertingkatkan, iaitu Bukit Malawati juga Taman Rimba Templer sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

 


Pengarang :