SELANGOR

Belanjawan’19: RM1.5 juta bangunkan SWAN

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Selangor bercadang memperuntukkan RM1.5 juta bagi membangunkan Selangor Wide Area Network (SWAN).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, SWAN adalah jaringan jalur lebar berkelajuan tinggi gigabit untuk menghubungkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dengan semua agensi kerajaan lain.

Katanya, ia termasuk jabatan dan pejabat seperti Pejabat Tanah dan Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan semua anak syarikat Kerajaan Negeri.

“SWAN membolehkan satu jaringan bersepadu bagi memenuhi keperluan rangkaian dan integrasi antara SUK dan agensi Kerajaan serta PBT.

“Jaringan ini dijangka mempunyai kelajuan dan kapasiti tinggi untuk memenuhi keperluan semua Inisiatif Smart Selangor seperti ‘Open Government’ untuk jangka masa lima hingga tujuh tahun hadapan,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk pembangunan jaringan internet berkelajuan Gigabit (atau 1 gigabit per second).

Katanya, pembangunan itu akan mengupayakan jaringan internet di kesemua ibu pejabat PBT yang mengupayakan WiFi percuma berasaskan model baru di kawasan berhampiran.

“Sementara peruntukan RM1 juta pula akan diberi bagi tujuan analisa Big Data oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU),” katanya.


Pengarang :