SELANGOR

Belanjawan’19: RM1 juta untuk Shah Alam Dialogue

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 NOV: Sejumlah RM1 juta diperuntukkan untuk menjayakan program Shah Alam Dialogue sebagai ruang kepada tokoh bertaraf antarabangsa menyampaikan pandangan dan pemikiran mereka.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia bukan sahaja menjadi platform kepada ahli akademik dan intelektual tetapi masyarakat di Selangor mendapatkan analisa terkini bersifat serantau serta global.

“Selari dengan matlamat menjadikan gerbang serantau dalam bidang ekonomi, Selangor perlu menjadi pemain utama yang mencorakkan wacana kontemporari berhubung isu strategik seperti keselamatan, pemanasan global, alam sekitar dan teknologi,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri turut mencadangkan RM1 juta untuk penganjuran Selangor Modest Fashion Week ekoran perkembangan komersial fesyen santun yang rancak, di Shah Alam dan Bandar Baru Bangi.

“Berdasarkan laporan State of The Global Islamic Economy 2017-2018 oleh Thomsons Reuters, perbelanjaan untuk busana santun (modest fashion), pada 2022 dijangka mencecah RM1 trillion.

“Justeru, saya mencadangkan penganjuran Selangor Modest Fashion Week supaya potensi bidang ini dapat ditonjolkan dengan lebih optimum,” katanya.

 


Pengarang :