SELANGOR

Belanjawan’19: RM116.1 juta naik taraf jalan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV : Kerajaan Selangor mencadangkan memperuntukkan sebanyak RM116.1juta bagi kerja menaiktaraf jalan raya di sekitar negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerja naik taraf itu bagi memastikan jalan sedia ada dapat menampung peningkatan aliran trafik sekali gus mengatasi masalah kesesakan di jalan negeri.

Katanya, justeru, peruntukan sebanyak RM10 juta akan disalurkan bagi kerja naik taraf di Jalan Telok Gong dari persimpangan Glenmarie Cove Sehingga Ke persimpangan Jalan Ikan Tenggiri.

“Sementara anggaran peruntukan untuk kerja naik taraf Jalan Reko Pakej 2 Daerah Hulu Langat pula ialah sebanyak RM12.3juta.

“Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan untuk melaksanakan kajian awalan beberapa projek naik taraf jalan yang melibatkan beberapa daerah dengan peruntukan sebanyak RM25.49juta.

“Ia diperuntukan untuk kerja meningkatkan aspek keselamatan jalan daerah, pemasangan lampu isyarat, lampu jalan serta pembaikan cerun,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, sebanyak RM44 juta dari RM60.1 juta diperuntukkan pada 2019 untuk menampung kerja pembinaan jalan baru yang sedang berjalan.

Katanya, peruntukan RM8 juta pula bagi membina jalan menghubungkan Kampung Sri Indah A Ke Jalan Hospital Sungai Buloh.

“Projek itu akan menjadi jalan alternatif bagi penduduk dari Kampung Sri Indah A untuk ke Hospital Sungai Buloh, dan RM25 juta akan diperuntukkan untuk membina Jalan dari Kampung Ulu Chuchoh ke KLIA.

“Sementara sebanyak RM11 juta pula untuk membina jalan sambungan Sungai Kelambu dan Genting Sanyen,” katanya.

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM194 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tahun 2019.

Sementara sebanyak RM9.35 juta diperuntukkan bagi kerja membina jambatan dan jejantas.


Pengarang :