SELANGOR

Belanjawan’19: RM2.2 juta program pembangunan industri padi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Sejumlah RM2.2 juta dicadangkan pada 2019 untuk program pembangunan industri padi dengan penumpuan di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Selangor mempunyai kawasan sawah padi seluas 18,899 hektar dengan jumlah pesawah 9,119 orang.

“Justeru, dalam usaha meningkatkan hasil dan pendapatan golongan pesawah, sejumlah RM2.2 juta dicadangkan, pada 2019 untuk program pembangunan industri padi dengan penumpuan di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor,” katanya.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukan RM1 juta bagi memperluaskan kawasan pengeluaran nanas MD2 di Kuala Langat dan Sabak Bernam, pada tahun hadapan.

“Nanas ini adalah variasi nanas yang boleh memberikan pulangan tinggi kepada penanam kerana permintaan tinggi di pasaran, sekali gus menjadikannya antara tanaman yang boleh menjana pendapatan lumayan kepada pekebun,” katanya.

Pada masa sama, katanya, satu projek khas bertujuan mengembalikan tahap kesuburan tanah dengan pendekatan penggunaan baja organik dan input pertanian lebih mesra alam mula dilaksanakan tanpa meminggirkan penggunaan baja dan racun atau berasaskan bahan kimia.

“Program itu akan membabitkan kawasan seluas lebih kurang 369 hektar di daerah Sabak Bernam dan seterusnya di Kuala Selangor serta Sekinchan,” katanya.


Pengarang :