SELANGOR

Belanjawan’19: RM21.44 juta bangun sektor pertanian

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Sejumlah RM15.79 juta dicadang disalurkan kepada Jabatan Pertanian, manakala RM5.65 juta di bawah Unit Perancangan Ekonomi Negeri untuk pembangunan pertanian.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri juga memfokuskan untuk membuka lebih banyak kawasan pertanian berteraskan konsep Tanaman Berpenghasilan Tinggi (high yield crop).

Katanya, ia dengan mengoptimumkan kawasan kecil bagi penghasilan tinggi melalui penggunaan teknologi moden dan seterusnya meningkatkan pendapatan.

“Dasar ini juga selari dengan trend pertanian, pada ketika ini yang memfokuskan ke arah Revolusi Pertanian 4.0 (AR 4.0) dengan penekanan diberikan kepada aplikasi inovasi teknologi pertanian seperti penggunaan peralatan berteknologi tinggi, sensori, robotik, GPS dan teknologi maklumat (IT).

“Untuk merealisasikan hasrat itu, sejumlah RM800,000 peruntukan disediakan untuk penggunaan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Ia juga mengarah kepada penggunaan konsep Precision Agriculture (pertanian tepat), sebagai contoh penggunaan jumlah air dan baja yang sedikit mengikut keperluan tanaman sebenarnya tetapi pada masa sama, kualiti dan jumlah pengeluaran hasil adalah lebih tinggi,” katanya.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri memulakan kaedah AR 4.0 di dalam projek penanaman fertigasi melon seperti ‘golden melon’ yang mempunyai nilai harga jualan tinggi.

Katanya, ia memberikan penumpuan kepada kaedah pertanian tepat atau Precision Agriculture bermula dari awal tanaman sehingga kepada tuaian hasil.

“Di samping itu, melalui kaedah penanaman fertigasi terbabit, penggunaan air, elektrik dan baja dapat dijimatkan, namun ia tetap boleh menghasilkan produk segar berkualiti tinggi serta mengikut kehendak pasaran termasuk dari segi saiz, kerangupan juga tahap kemanisan (brix),” katanya.

Terdahulu, sektor pertanian di Selangor merekodkan nilai ditambah berjumlah RM3.99 bilion, pada 2017, sekali gus meningkat berbanding RM3.52 bilion, pada tahun sebelumnya.

Sektor berkenaan menyumbang 1.5 peratus kepada keseluruhan KDNK, pada 2017.

 


Pengarang :