SELANGOR

Belanjawan’19: RM233.35 juta bangun infrastruktur air

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Dalam usaha menjamin kelestarian sumber bekalan air untuk memenuhi permintaan semasa terutama bagi pembangunan baru, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM223.35 juta bagi pembangunan infrastruktur bekalan air.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, cadangan berkenaan membabitkan peruntukan RM130 juta untuk meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air Labohan Dagang Fasa 1.

Katanya, RM25 juta pula digunakan untuk membiayai pembangunan Projek Labohan Dagang Fasa 2 dan menyediakan kajian terperinci bagi Pembangunan Loji Rawatan Air Sungai Rasau.

“Dengan siapnya keseluruhan sistem Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang Fasa 1 dan Fasa 2, jumlah air terawat yang boleh dibekalkan ke kawasan daerah Kuala Langat dan sekitarnya adalah 400 Juta Liter Air Sehari (JLH),” katanya.

Katanya, Kajian ‘Water Resources, Supply, Demand And Distribution Study For Selangor’ mengambil kira faktor pengurangan Air Tidak Berhasil atau Non Revenue Water (NRW), pengurangan penggunaan air per kapita, pembinaan dan penambahbaikan loji rawatan air.

Katanya, kajian berkenaan akan dijadikan sebagai Pelan Induk Pembangunan Sumber Air Selangor untuk tempoh sehingga 2065 bagi memastikan kelangsungan sumber bekalan air, pada jangka masa panjang.

“Melalui pelan induk ini, kawasan pembangunan bekalan air yang dirancang boleh dielakkan dari sebarang pembangunan selain bekalan air bagi mengelakkan Kerajaan Negeri terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi tujuan pengambilan balik tanah, pada masa hadapan.

“Bekalan air adalah elemen penting dalam kehidupan seharian setiap insan dan industri diberi perhatian Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :