SELANGOR

Belanjawan’19: RM5.6 juta bangun dan lindungi hutan

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 23 NOV: Belanjawan Selangor 2019 mencadangkan RM5.6 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perhutanan untuk program pembangunan dan perlindungan hutan, di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kawasan hutan mempunyai estetika tidak ternilai yang kaya dengan flora fauna serta panorama indah sebagai daya tarikan utama destinasi pelancong tempatan juga luar negara.

“Kerajaan Negeri bertekad menerajui usaha melestarikan alam sekitar dan memelihara alam semula jadi daripada menjadi mangsa pembangunan pesat.

“Tekonologi yang semakin maju dan era Revolusi Perindustrian 4.0 menjadi pemangkin kepada usaha melestarikan alam sekitar demi memelihara ekosistem negeri serta masa depan lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019, di Dewan Annex, di sini.

Pada masa sama, katanya, Selangor turut memberi jaminan mengekalkan keluasan kawasan hutan sekurang-kurangnya 30% daripada keluasan negeri.

Beliau berkata, ia berjaya diperolehi apabila Selangor memiliki keluasan hutan 31.5% atau 250,129 hektar daripada keseluruhan keluasan negeri, sehingga kini.

“Ahli ekologi terkenal dari Kanada, Pierre Dansereau yang dijuluki Bapa Ekologi pernah mengungkapkan “perancangan untuk memulihkan semula alam sekitar dan dunia adalah kini tugas terpenting manusia, malah ia boleh menjadi penentu kelangsungan kehidupan kita”,” katanya.


Pengarang :