SELANGOR

Belanjawan’19: RM50 juta jaya KISS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri akan meneruskan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dengan peruntukan RM50 juta, pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, KISS adalah program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan rakyat, di negara ini dan khasnya Selangor, dengan memberi manfaat kepada 40,000 ibu, di seluruh negeri.

“Mulai tahun depan, agenda ’empowerment’ dimaksudkan adalah penerima berpeluang terpilih sebagai peserta ‘Work From Home’ (WFH), iaitu program pemberdayaan wanita oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama positif syarikat swasta dalam memberi kemahiran sehingga peserta mampu menjana pendapatan.

“Pembabitan proaktif 56 Pusat Wanita Berdaya, di seluruh Selangor turut sama dizahirkan dalam mengenal pasti penerima KISS berpotensi untuk menjadi peserta WFH ini,” katanya.

Beliau berkata, peserta hasil daripada kemahiran dan nilai tambah diberikan seterusnya mempunyai ruang dan peluang menceburkan diri bagi memulakan perniagaan melalui permohonan IPR seterusnya, iaitu Hijrah Selangor.

“Pembaharuan melalui ’empowerment’ terutama kepada golongan B40 diharap memberi ruang dan peluang kepada penerima supaya mampu berdikari menjana pendapatan keluarga dan keluar daripada kepompong kemiskinan dihadapi selain sama menyumbang secara proaktif dalam membangunkan negeri.

“Penerima KISS kemudian akan diberdaya dan diberi kemahiran untuk menjana pendapatan adalah contoh konsep ‘Gift to Empowerment’ dirancang Kerajaan Negeri,” katanya.

Bagi Tabung Amanah Warisan Anak Selangor (TAWAS) pula, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM25 juta untuk manfaat penerimanya, pada tahun depan.

Katanya, program itu melalui proses pembaharuan dengan Hadiah Anak Masuk Universiti atau Hadiah Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang program itu memberi manfaat secara langsung kepada remaja berusia 18 tahun.

“Ia dapat digunakan untuk memenuhi keperluan melanjutkan pelajaran ke IPT masa kini dan tidak lagi kepada pemohonan baru bagi bayi yang baharu lahir seperti sedia ada.

“Kerajaan Negeri melihat penjajaran ini adalah perlu memandangkan graduan kini lebih memerlukan bantuan kewangan bagi memenuhi kelengkapan di peringkat pendidikan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi meneruskan dana tabungan permulaan bagi bayi baharu lahir menerusi program Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) di bawah kendalian Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).


Pengarang :