SELANGOR

Belanjawan’19: RM540 juta laksana pelupusan sisa pepejal berteknologi tinggi

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya, Worldwide Holdings Berhad (WHB) akan melaksanakan kerja pembangunan sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal menyeluruh menggunakan teknologi Waste To Energy (WTE).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, teknologi itu akan memproses sisa pepejal dan menukarnya kepada haba, stim serta tenaga elektrik di Jeram, Kuala Selangor.

Katanya, kos pembangunan projek sebanyak RM500 juta akan dibiayai WHB dan Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM40 juta bagi tujuan pengambilan tanah .

“Sudah tiba masanya Selangor beralih daripada cara konvensional dalam melupuskan sisa pepejal kepada satu sistem pengurusan pelupusan menggunakan teknologi tinggi ekoran peningkatan keperluan kepada tapak pelupusan untuk melupuskan sampah.

“Peningkatan ini selaras pertambahan penduduk dan aktiviti masyarakat, ditambah dengan gaya hidup generasi baharu yang sangat terdedah kepada penggunaan sisa pepejal seperti plastik, logam, sisa bahan makanan, bahan binaan dan landskap.

“Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri akan terus meneroka kaedah atau teknologi tinggi yang memberi kesan positif dalam memastikan isu sisa pepejal, di Selangor dapat diselesaikan dengan kaedah kerjasama pihak swasta secara Public Private Partnership (PPP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019, di Dewan Annex, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, kaedah pelupusan sisa pepejal yang diamalkan sekarang tidak lagi lestari dan relevan untuk diteruskan, pada masa akan datang.

Katanya, ia bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah apa yang penting ialah isu kekurangan tanah untuk digunakan sebagai tapak pelupusan serta kos pengawasan juga penyelenggaraan tapak pelupusan untuk tempoh lama selepas ia ditutup.

“Penjanaan tenaga melalui WTE kini dilihat semakin penting untuk menjadikan sisa pepejal sebagai salah satu sumber bahan api mampan dan strategi pelaburan tenaga diperbaharui yang berpotensi, khususnya di Selangor.

“Selain itu, ia sangat merugikan jika Selangor terus menggunakan kaedah sedia ada untuk melupuskan sisa pepejal sedangkan jika menggunakan kaedah WTE, tapak kawasan itu kelak boleh digunakan semula bagi tujuan pembangunan lain dengan lebih cepat,” katanya.


Pengarang :