SELANGOR

Belanjawan’19: RM6.35 juta berdaya usahawan kecil dan mikro

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan berjumlah RM6.35 juta diperuntukan bagi memberdayakan usahawan kecil dan mikro supaya mereka berdaya saing dan bersedia untuk menghadapi cabaran Industri 4.0.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pendekatan itu merupakan inisiatif baharu dan julung kali bakal dilaksanakan di peringkat negeri.

Katanya, bagi mengembangkan perniagaan usahawan secara drastik dari segi penambahan pendapatan perniagaan selain turut merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga mencadangkan peruntukan berjumlah RM2 juta bagi tujuan mengkomersialkan produk usahawan di bawah Program Usahawan Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

“Ia akan dikomersialkan dengan kolaborasi bersama Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) dalam membangunkan platform perniagaan di atas talian (online) seperti Alibaba kepada usahawan negeri.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited memperkukuh serta menambahbaik pelaksanaan program keusahawanan di Selangor,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Program Pembungkusan Produk ‘Made In Selangor’ dengan peruntukan berjumlah RM550,000 setahun untuk 130 usahawan sedia ada yang mempunyai kapasiti pengeluaran produk secara berterusan.

“Mereka akan mendapat bantuan untuk meningkatkan kualiti reka bentuk pembungkusan produk. Ini kerana tanpa pembungkusan yang menarik dan berkualiti, sesuatu produk keusahawan tidak akan berjaya dipasarkan,” katanya.

Pada 2017, program itu membantu 19 usahawan meningkatkan hasil jualan mereka di mana seramai lapan usahawan berjaya meningkatkan hasil jualan sehingga 100 peratus manakala bakinya berjaya meningkatkan hasil jualan sekurang-kurangnya sehingga 50 peratus.


Pengarang :