SELANGOR

Belanjawan’19: RM610,000 ‘Road map’ khusus industri Bioteknologi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Bioteknologi adalah merupakan satu industri lain yang dikenal pasti dan diberikan tumpuan oleh pihak Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin berkata, statistik terkini dikeluarkan Bio Economy Corporation menunjukkan terdapat sejumlah 94 syarikat berstatus Bio Nexus beroperasi di Negeri Selangor dan ianya menyumbang sejumlah RM1.19 bilion kepada ekonomi.

“Kerajaan Negeri mengenalpasti potensi industri ini di masa hadapan, sehubungan dengan itu juga pihak Central Spectrum Sdn Bhd telah diberi mandat untuk menyediakan tapak khusus bagi industri ini.

“Central Spectrum Sdn Bhd secara rasminya telah melancarkan Taman Bioteknologi pertama di Negeri Selangor iaitu – Bio Bay Selangor, yang terletak di Pulau Indah, Selangor.

“Semestinya, ini akan menjadikan ekosistem bagi industri Bio Teknologi di negeri ini lebih lengkap dan ianya menjadi satu tarikan bagi pelabur dari dalam dan luar negara,” katanya.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri merancang memperuntukkan RM 610,000 di bawah Unit Perancangan Ekonomi Negeri bagi perlaksanaan ‘Road Map’ bagi membuat kajian khusus dalam industri berkenaan.

“kelebihan sedia ada dan serta input diterima dari Pelan Tindakan Hala Tuju Industri Halal Negeri Selangor 2018 adalah kebanyakan syarikat Bioteknologi Global melihat Status Halal sebagai satu nilai tambah yang mampu memberikan kelebihan buat mereka,” katanya.

 


Pengarang :