SELANGOR

BELANJAWAN’19: RM9 juta untuk SIBS 2019

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri akan meneruskan Selangor International Business Summit (SIBS) pada 2019 dengan peruntukan sebanyak RM9 juta dalam usaha untuk mempromosikan dan mengukuhkan Negeri Selangor sebagai hab perdagangan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, SIBS akan menjadi platform untuk memperkenalkan dan mengembangkan Gugusan-Gugusan Ekonomi Selangor yang dikenalpasti.

Katanya, tahun ini, SIBS berjaya menarik 25,981 orang pengunjung berbanding 16,694 pengunjung pada tahun 2017.

“Acara tahunan anjuran Invest Selangor ini berjaya mencatatkan transaksi bernilai RM 194.6 juta.

“SIBS merangkumi tiga segmen utama iaitu Selangor International Expo, Selangor-ASEAN Business Conference dan Selangor Smart City and Digital Economy Convention.

“Program ini dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk meneroka pasaran luar negara serta mewujudkan komuniti perdagangan antara Selangor dan Negara-Negara luar serta menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan serta hab perdagangan bagi rantau ASEAN,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, bagi menggalakkan pertumbuhan sektor pelaburan, Kerajaan Negeri melalui agensi penggalakkan pelaburan negeri, Invest Selangor akan meneruskan agenda dan perancangan bagi mempromosikan Negeri Selangor dengan lebih giat lagi dengan peruntukan berjumlah RM2.15 juta.

Katanya, program-program promosi dan misi pelaburan ke luar negara akan diteruskan dengan fokus kepada negara berpotensi untuk melabur di Negeri Selangor.

“Salah satu langkah adalah dengan menyertai pameran antarabangsa bagi tujuan ‘awareness and to position’ seperti Singapore Airshow, Farnborough International Airshow, Malaysia-China Entrepreneur Conference, MIHAS, Gulfood Dubai, Naning Expo dan SIAL Jakarta (Indonesia),” katanya.

 


Pengarang :