BERITA UTAMASELANGOR

BELANJAWAN’19: Sebulan gaji bantuan khas kewangan penjawat awam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri menghadiahkan khabar gembira kepada penjawat awam dengan mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan tambahan satu bulan gaji.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkannya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019.

Amirudin berkata, bantuan khas kewangan berkenaan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap keazaman mereka untuk menunaikan tanggungjawab dan kecekapan mereka mentadbir.

“Alhamdulillah sepanjang lima bulan ini saya memikul amanah sebagai Menteri Besar, saya merasa terharu dengan sokongan serta dokongan penjawat awam.

“Justeru, sebagai suatu rangsangan supaya penjawat awam melonjakkan lagi prestasi mereka suatu pembayaran bantuan khas kewangan tambahan satu bulan gaji.

“Kecekapan dan keazaman mereka ini menjadi inspirasi kepada saya untuk berusaha lebih kuat demi rakyat dan negeri ini,” katanya.

Amirudin berkata, bantuan khas kewangan berkenaan akan dibayar pada 20 Disember depan memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM34.53 juta.

“Saya dan pimpinan negeri berikrar dalam Dewan Yang Mulia ini akan memastikan Negeri Selangor terus unggul sebagai sebuah negeri kosmopolitan yang sentiasa maju ke hadapan.

“Ia sekali gus berupaya berentap sebagai aktor ekonomi mahupun budaya di rantau Asia Tenggara dan teguh prihatin dengan nasib rakyat yang memerlukan pembelaan,” katanya.

Jun lalu, seramai 17,109 penjawat awam di negeri itu menikmati bantuan khas Aidilfitri sebanyak sebulan gaji sebagai meringankan beban kewangan dalam membuat persiapan perayaan berkenaan.


Pengarang :