SELANGOR

Belanjawan’19: Selangor Negeri Sihat sasaran 2019

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM21 juta untuk tahun hadapan bagi menjayakan hasrat Selangor Negeri Sihat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, belanjawan negeri akan memfokuskan kepada program-program pencegahan untuk mengurangkan kadar penyakit tidak berjangkit di samping menurunkan kadar penyakit berjangkit.

“Peruntukan ini meliputi RM10 juta untuk Skim Peduli Sihat, Program Pencegahan Denggi RM3 juta, Program Bantuan Sihat Selangor termasuk Dialisis berjumlah RM5 juta serta bentuk bantuan lain.

“Semakin hari, kos rawatan semakin tinggi terutama apabila telah berada di tahap kritikal. Ini dapat dielakkan jika kita mencegahnya dari awal seperti kata pepatah ‘Mencegah lebih baik daripada mengubati’,” katanya.

Di samping itu, Kerajaan Negeri turut mencadangkan pelaksanakan program Selangor SLIM bagi menggalakkan semua masyarakat menjalani amalan hidup Sihat dengan mendapatkan dan mengekalkan berat badan ideal.

“Program ini menggalakkan masyarakat untuk menjalani aktiviti fizikal secara rutin, mengamalkan pemakanan sihat, melakukan pemeriksaan kesihatan serta menghadiri kempen-kempen kesihatan yang dianjurkan bagi memastikan rakyat Selangor mempunyai pengetahuan yang luas serta bijak dalam penjagaan kesihatan. Program ini akan dilaksanakan di bawah Gaya Hidup Sihat dan diperuntukkan sebanyak RM2 juta.

“Keperluan nutrien ini dapat dipenuhi melalui pengambilan makanan yang pelbagai, seimbang dan sederhana berdasarkan kepada Piramid Makanan Malaysia. Selari dengan kempen Pinggan Sihat Malaysia yang dilaksanakan di peringkat pusat, Kerajaan Negeri seiringan mendukung dan akan melebarkan liputan maklumat tersebut,” katanya.

Dalam menitik beratkan soal kesihatan, Kerajaan Negeri turut mencadangkan penekanan kepada program kesihatan mental dengan memperluaskan peranan Pusat Kaunseling Selangor sedia ada menerusi pengaktifan sesi kaunseling atas talian.

Amirudin berkata, segala luahan rasa boleh disalurkan melalui panggilan telefon untuk mengurangkan tekanan dan mendapatkan nasihat lanjut terhadap kerumitan dialami serta berharap penglibatan NGO bagi merealisasikan usaha ini.


Pengarang :