SELANGOR

Belanjawan’19: Selangor peruntuk RM2.56 bilion

 

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan sejumlah RM 2.56 bilion bagi Belanjawan Selangor 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, anggaran itu bersandarkan kepada kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan terus berdaya tahan.

Katanya, daripada jumlah terbabit, RM1.28 bilion atau 50 peratus diperuntukkan bagi Belanja Mengurus dan RM 1.28 bilion atau 50 peratus untuk Belanja Pembangunan.

“Pada 2019, Kerajaan Negeri melaksanakan perbelanjaan seimbang di antara peratusan Belanja Pembangunan dengan peratusan Belanja Mengurus.

“Belanjawan 2019 dijangka mengalami defisit RM360 juta berpunca dari peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019 di Dewan Annex, hari ini.

Menyorot pengalaman empat belanjawan lalu, beliau berkata perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja cekap dan berintegriti serta menutup ruang pembaziran juga tirisan ternyata berjaya mengubah belanjawan defisit kepada belanjawan berimbang.

Katanya, ia sekali gus mampu mengurangkan belanjawan defisit kepada satu jumlah yang lebih munasabah.

“Seperti mana kita sedia maklum, Kerajaan Negeri memperkenalkan Dasar Penilaian Perolehan Secara Sistem Cut-off mulai dari 2015 bagi menilai semua tender dan sebut harga yang dipelawa secara terbuka.

“Sejak 2015, sejumlah 467 projek dengan anggaran kos sebanyak RM3.71 bilion telah dinilai.

“Hasil daripada pelaksanaan kaedah ini yang dibuat secara telus dan berintegriti, maka sehingga 15 November 2018, Kerajaan Negeri merekodkan penjimatan RM510.1 juta,” katanya.

Amirudin turut berkata, hasil pelaksanaan perbelanjaan berhemah, Kerajaan Negeri berjaya memulangkan semula hasil itu kepada rakyat melalui pelbagai program dan inisiatif.


Pengarang :