SELANGOR

Belanjawan’19: Selangor sasar jadi ‘Boston of Malaysia’

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV: Tidak mustahil Selangor akan menjadi ‘Boston of Malaysia’ apabila Kerajaan Negeri akan memajukan gugusan pendidikan bagi kawasan Gombak, Sepang dan Hulu Langat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia berikutan wilayah tersebut mempunyai pusat pengajian dan puluhan ribu pelajar.

“Maka sejumlah RM87.64 juta atau 6.8 peratus akan diperuntukkan untuk memperkasa aspek pendidikan, ini kerana Kerajaan Negeri mahu kluster pendidikan akan menjadi suatu pelantar yang menumpukan pemberdayaan golongan belia, kelompok akademia dan warga penyelidik.

“Kerajaan berhasrat supaya kumpulan ini akan memperolehi akses kepada pembelajaran dan juga penyelidikan sejajar dengan kehendak industri dan jaminan pekerjaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, antara program yang bakal dilaksanakan adalah Ekspo Penyelidikan serta program penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Katanya, program itu dijangka akan menghimpunkan hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi yang terkandung melalui Kluster Pendidikan tersebut.

“Dalam masa tiga tahun Kerajaan Negeri merancang untuk memastikan ekspo ini akan berkembang menjadi ekspo penyelidikan tersohor di Asia Tenggara.

“Ia juga dijangka akan mempunyai kerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti Institut Teknologi Bandung dari Indonesia, Nanyang Institute of Technology dari Singapura dan Mahidol University dari Thailand,” katanya.


Pengarang :