SELANGOR

Belanjawan’19: Sembilan gugusan mantapkan ekonomi, sosial dan alam sekitar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV : Kerajaan Negeri mencadangkan sembilan gugusan utama bagi memastikan negeri ini terus melangkah ke depan dalam bidang ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia termasuk pertama, Gugusan Industri Teknologi Tinggi dan ‘Science Park’ bagi kawasan Shah Alam, Subang Jaya, Puchong dan Cyberjaya.

Katanya, kedua, Gugusan Industri Aeropolis dan Aeroangkasa bagi kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang.

“Ketiga, Gugusan Industri Automotif dan Industri Sokongan bagi kawasan Serendah, Sungai Choh dan Bukit Beruntung. Keempat, Gugusan Industri Sokongan Pelabuhan dan Maritim yang dikenalpasti di Pelabuhan Klang, Pulau Indah, Telok Gong dan Sijangkang.

“Kelima, Gugusan Industri Terpilih dan Industri Perkhidmatan bagi kawasan Telok Panglima Garang, Rawang, Kuang, Bernam Jaya dan Lembah Beringin, sementara keenam ialah Gugusan Eko-Pelancongan bagi kawasan Kuala Selangor, Taman Negeri, Pesisiran Pantai Morib, dan Sungai Pelek,” katanya.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut mengenalpasti Gugusan Perikanan dan Akuakultur di Kuala Selangor dan Sabak, sementara Gugusan Pertanian dan Industri Asas Tani bagi kawasan Tanjung Karang dan Sungai Air Tawar.

Sementara Gugusan Pendidikan meliputi kawasan Gombak, Serdang dan Hulu Langat juga telah dikenalpasti dan terakhir Gugusan Ekonomi Bandar merangkumi 13 pusat pertumbuhan strategik.

“Melalui Program Jelajah Maju Bersama ia membolehkan saya dan pentadbiran memahami kawasan-kawasan ini.

“Oleh itu Kerajaan Negeri melalui pelbagai agensi pelaksana di bawahnya sedang mengatur strategi bagi memastikan Selangor terus ke hadapan baik dalam bidang ekonomi, sosial dan alam sekitar,” katanya.


Pengarang :