SELANGOR

Belanjawan’19: Tiga produk baharu diperkenal Yayasan Hijrah Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Sebanyak tiga produk baharu akan dirancang Yayasan Hijrah Selangor tahun depan bagi memantapkan lagi program ‘Zero to Hero’.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tiga produk berkenaan itu membabitkan Pinjaman Bermusim, Program Inkubator dan Program Smart Partnership.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri mencadangkan dana pinjaman sebanyak RM25 juta bagi pelaksanaan program itu memerlukan dana tambahan dari Kerajaan Negeri.

“Semenjak penubuhannya, Yayasan Hijrah Selangor menerima sejumlah RM186 juta dana pembiayaan daripada Kerajaan Negeri.

“Oleh kerana sambutan cukup menggalakkan kepada program Hijrah, maka Yayasan Hijrah sedang merancang melaksanakan produk baharu di samping memantapkan lagi program ‘Zero to Hero’ ini,” katanya.

Terdahulu, sebanyak RM31 juta digunakan untuk program ‘Zero to Hero’ yang berteraskan kepada konsep pemantauan ‘Mentor Mentee’ .

Katanya, sejumlah RM5 juta pula adalah peruntukan dana khas bagi melaksanakan program kepada golongan sasar Orang Kelainan Upaya (OKU) dan juga ibu tunggal.

Amirudin berkata, pada suku ketiga tahun 2018, Hijrah Selangor menyalurkan modal pinjaman kepada seramai 54,609 usahawan dengan nilai pinjaman berjumlah RM405.47 juta.

“Daripada dana peruntukan RM185 juta, Hijrah berjaya menyalurkan gandaan pinjaman kepada RM405.47 juta,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, dengan kadar bayaran balik pinjaman melebihi 80 peratus, Hijrah berjaya menjana dana pusingan untuk menambahkan lagi jumlah pinjaman dan menambahkan bilangan usahawan baru.

Katanya, rekod prestasi juga menunjukkan seramai 10,120 orang usahawan dengan nilai pinjaman RM 188.55 juta berjaya dijana melalui pembiayaan modal pusingan pinjaman kali kedua dan ketiga.


Pengarang :