SELANGOR

Belanjawan’19: Unjur RM750 juta industri Aeroangkasa di Serendah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor Berhad terus giat menjalin kerjasama erat dengan pemain industri antarabangsa bagi merealisasikan hasrat mewujudkan hab aeroangkasa.

Justeru, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri turut mengunjurkan RM750 juta dapat dijana menerusi industri aeroangkasa sebaik kilang UMW, di Serendah siap sepenuhnya.

“Belanjawan Persekutuan untuk 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan menyebut pihak Khazanah akan membangunkan tanah seluas 80 ekar, di Subang sebagai hab aeroangkasa.

“Pembangunan ini pastinya menguntungkan rakyat Selangor, malahan selari pula dengan dasar Kerajaan Negeri yang berhasrat untuk menjadi tiga hab aeroangkasa terbaik dunia dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI),” katanya.

Amirudin berkata, pembangunan di dalam industri itu pada masa akan datang akan didorong ekosistem padu yang sudah tersedia untuk dimanfaatkan penggiat aeroangkasa.

Katanya, ia termasuk taman pengeluaran logam aeroangkasa di Serendah dan Subang; Subang Nexus serta Sepang, yang dikenali sebagai Aeropolis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.


Pengarang :