SELANGOR

Belian beg plastik menurun, bukti kesedaran pengguna meningkat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 NOV: Kutipan wang pembelian beg plastik di pasaraya didapati menurun, kata EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian.

Katanya, ia menunjukkan orang ramai sudah mula kurang menggunakan beg plastik ketika berkunjung ke pasaraya.

“Hasil maklum balas daripada pasaraya terlibat juga mendapati kebanyakan pelanggan sudah membawa beg kitar semula ketika membeli barangan.

“Ini membuktikan rakyat Selangor sudah mula biasa dengan Kempen Bebas Plastik, sekali gus memperlihatkan kejayaan kempen ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Kempen Bebas Plastik Tahun 2018 di Foyer Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Kempen Bebas Plastik yang mula dilancarkan pada Januari 2017 memastikan kesemua pasaraya mengenakan caj sebanyak 20 sen kepada pelanggan yang ingin membeli beg plastik.

Loy Sian berkata, namun sehingga kini Kerajaan Negeri tidak akan menaikkan kadar bayaran beg plastik tersebut.

“Kerajaan Selangor sedang dalam peringkat perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperkenalkan beg kertas kitar semula di setiap pasaraya.

“Kami juga mahu rakyat faham bahawa kempen sebegini bukannya untuk menyusahkan mereka, sebaliknya ia adalah usaha murni untuk menjaga alam sekitar,” katanya.


Pengarang :