SELANGOR

Beri lesen pendudukan sementara buat pengusaha kolam udang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 7 NOV: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam sedia mempertimbangkan lesen pendudukan sementara terhadap pengusaha kolam udang, di daerah itu, sebagai suatu bentuk mekanisme baharu bagi mengutip hasil cukai.

Pegawai Daerahnya, Nasir Mamat berkata, pihaknya akan memberi pajakan tapak tanah kepada mereka yang berminat untuk mengusahakan kira-kira 15 kolam udang, di daerah berkenaan.

Katanya, walaupun tanah terbabit adalah milik penuh Kerajaan Negeri tetapi pihaknya sudah diberi kebenaran berbuat demikian.

“Kita tidak mahu melihat tanah berkenaan terbiar begitu sahaja, jadi lebih baik kita memajak kepada mana-mana pengusaha yang berminat untuk memajukan kolam udang.

“Malah, Kerajaan Negeri juga turut mengarahkan semua pejabat daerah supaya meningkatkan lagi kutipan hasil tanah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, memandangkan PDT dan Majlis Daerah Sabak Bernam saling berkait rapat antara satu sama lain, maka setiap perancangan harus bergerak seiring dengan memperkemas peranan ke arah memajukan daerah berkenaan, khususnya dalam sektor pertanian.

“Kami menyokong usahakemajuan di daerah ini kerana apabila maju, sudah tentu hasilnya kembali kepada daerah dan hasil daripada cukai tanah itu disumbangkan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :