NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini walaupun Wall Street ditutup kukuh, terjejas oleh ketegangan perdagangan AS-China yang berterusan menjelang Sidang Kemuncak G20 bermula Jumaat ini.

Pada 9.02 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.03 mata kepada 1,698.96 daripada 1,701.99 semasa ditutup pada Isnin dan selepas dibuka rendah 3.27 mata kepada 1,698.72.

Pada Isnin, laporan berita menyatakan Presiden AS Donald Trump dijangka meneruskan kenaikan tarif ke atas barangan import China bernilai $200 bilion kepada 25 peratus daripada 10 peratus pada masa ini dan menegaskan untuk mengenakan tarif ke atas semua baki import dari China.

Dalam temu bual dengan Wall Street Journal, Trump berkata beliau dijangka tidak menerima permintaan China untuk menangguhkan kenaikan itu, yang akan berkuat kuasa pada 1 Jan, 2019.

Trump, yang dijangka menemui Xi di luar Sidang Kemuncak G20 di Buenos Aires, Argentina, pada hujung minggu ini, berkata jika rundingan tidak berjaya, beliau akan turut mengenakan tarif ke atas baki import China.

Sementara itu, di peringkat tempatan, Maybank Investment Bank Bhd berkata ringgit yang susut dengan pemulihan semalaman minyak mentah dan ekuiti global mempunyai potensi untuk meningkatkan sentimen domestik hari ini.

“Dari segi teknikal, kami menjangka FBM KLCI berada antara 1,695 dan 1,720 hari ini. Sokongan penurunan pada 1,680 dan 1,658,” katanya dalam nota penyelidikan.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 88 berbanding 78, dengan 141 tidak berubah, 1,606 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 71.84 juta unit bernilai RM63.45 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB, masing-masing tidak berubah pada RM9.45 dan RM5.68, Public Bank susut dua sen kepada RM24.92, TNB naik dua sen kepada RM14.88 dan Petronas Chemicals meningkat tiga sen kepada RM9.29.

Daripada saham aktif, Genting merosot 49 sen kepada RM3.11, Tatt Giap tidak berubah pada 24.5 sen manakala Nova MSC menambah setengah sen kepada 14.5 sen.

Indeks FBM Emas merosot 17.58 mata kepada 11,789.74, Indeks FBMT 100 berkurangan 18.43 mata kepada 11,642.33, FBM 70 turun 8.29 mata kepada 13,861.12, bagaimanapun Indeks FBM Ace naik 12.14 mata kepada 4,986.83.

Indeks FBM Emas Shariah merosot 1.53 mata kepada 11,851.93.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 6.26 mata kepada 17,363.74, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.24 mata kepada 172.88 dan Indeks Perladangan menambah 6.40 mata kepada 7,083.97.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :