EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, dengan keyakinan dalam kalangan peniaga menjelang pembentangan Belanjawan 2019 pada petang ini, dan persekitaran luaran yang positif, terutamanya prestasi semalaman Wall Street yang lebih baik.

Pada 9.11 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.55 mata kepada 1,711.47 daripada 1,706.92 semasa ditutup semalam.

Indeks dibuka tinggi 4.06 mata kepada 1,710.98.

Public Bank Investment Bank Bhd berkata pasaran AS ditutup tinggi lagi berikutan pelabur memberi reaksi positif kepada kenyataan Presiden AS Donald Trump yang menawarkan “harapan” berhubung kemajuan hubungan perdagangan AS-China.

“Beliau berkata dalam tweet bahawa beliau mempunyai ‘perbincangan yang amat baik’ dengan Presiden China Xi Jinping,” menurut firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

Di Bursa Malaysia, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 192 berbanding 79, dengan 121 kaunter tidak berubah, 1,448 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 227.87 juta unit bernilai RM81.63 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM9.44, Tenaga naik 10 sen kepada RM14.66, Petronas Chemicals menambah sembilan sen kepada RM9.45 dan CIMB menokok satu sen kepada RM5.71.

Public Bank tidak berubah pada RM24.60.

Bagi saham aktif, PUC naik dua sen kepada 13.5 sen, Seacera menambah 2.5 sen kepada 31.5 sen, manakala Datasonic dan Prestariang, masing-masing meningkat satu sen kepada 41 sen dan 60.5 sen.

​​​​​​ Vivocom dan Hubline, masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan 4.5 sen.

Indeks FBM Emas Shariah naik 32.09 mata kepada 11,798.94, Indeks FBM Ace meningkat 33.60 mata kepada 4,916.03 dan FBM 70 menambah 19.71 mata kepada 13,537.19.

Indeks FBM Emas naik 29.2 mata kepada 11,795.13 dan Indeks FBMT 100 meningkat 27.75 mata kepada 11,644.84.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 1.77 mata kepada 7,362.27, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.59 mata kepada 171.15 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 28.48 mata kepada 17,230.92.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :