SELANGOR

Cadang wujud biasiswa khas anak OKU

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri dicadang mewujudkan satu program biasiswa khas bagi anak Orang Kelainan Upaya (OKU) demi membela golongan terbabit dalam menghadapi masa depan lebih cerah.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, langkah Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Tindakan OKU Selangor yang akan menyelia dasar golongan itu, di negeri ini bersesuaian bagi tujuan berkenaan.

“Ini bagi memastikan pembangunan golongan OKU tidak dipinggirkan dan mendapat pembelaan sewajarnya.

“Program biasiswa khas pada anak OKU yang cemerlang dalam pendidikan terutama dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dicadangkan sebagai satu galakan untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan menyokong Belanjawan Selangor 2019, pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, pendekatan itu turut dilakukan Kerajaan Negeri ketika mewujudkan program biasiswa Sagong Tasi bagi membantu anak Orang Asal.

Katanya, aspek pendidikan kanak-kanak amat penting dalam kalangan OKU dan ia perlu demi manfaat golongan berkenaan.

“Sesungguhnya hanya dengan pendidikan baik dan sempurna mampu mengubah nasib seseorang manusia,” katanya.


Pengarang :