SELANGOR

Caruman dalam talian mudahkan urusan majikan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 NOV: Semua majikan digalakkan membuat pembayaran caruman menerusi kaedah dalam talian bagi memudahkan urusan mereka tanpa perlu ke kaunter Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau syarikat perbankan.

Pengarah PERKESO Selangor, Mustafa Draman berkata, hal itu juga bagi mengelakkan pembayaran caruman lewat dan meminimakan penggunaan buku cek.

Katanya, hanya 75 hingga 80 peratus majikan membuat pembayaran secara dalam talian, manakala selebihnya masih menggunakan bayaran biasa.

“Hal ini kerana terdapat majikan yang kurang yakin kepada teknologi sehingga ada yang lewat atau membayar di saat akhir,” katanya kepada SelangorKini pada lawatannya, ke MediaSelangor, di sini, hari ini.

Mulai 1 Januari lalu, PERKESO memperkenalkan Portal ASSIST PERKESO bagi memudahkan majikan menguruskan pendaftaran majikan dan pekerja, rekod caruman serta pembayaran caruman.

Bagi menggunakan Portal ASSIST PERKESO, majikan perlu mendaftar untuk mendapatkan ID Portal ASSIST PERKESO terlebih dahulu dengan melengkapkan Borang ID Portal ASSIST PERKESO yang boleh diperolehi menerusi laman sesawang PERKESO dan menghantarkannya ke pejabat PERKESO berdekatan.

Portal ASSIST PERKESO boleh dilawati dengan melayari www.perkeso.gov.my login Portal ASSIST.


Pengarang :