NASIONAL

Chatime Malaysia bakal perkenal aplikasi mudah alih

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 7 NOV: Chatime Malaysia Sdn Bhd bakal memperkenalkan aplikasi mudah alih ‘Chatime’, pada Disember ini sebagai usaha memperluaskan capaian pelanggan segmen transaksi secara dalam talian.

Pengarah Urusannya, Aliza Ali berkata, sebagai sebuah jenama minuman gaya hidup, Chatime perlu bergerak lebih progresif seiring perubahan teknologi terkini dan memenuhi kehendak pasaran semasa.

“Pengenalan aplikasi ini mampu menarik minat lebih ramai millenial mendapatkan produk Chatime kerana ia lebih mudah, ringkas dan dekat dengan gaya hidup mereka.

“Kita turut mengunjurkan sumbangan 30 peratus kepada jualan syarikat menerusi pengenalan aplikasi ini dalam tempoh setahun pelancarannya,” katanya dalam kenyataan.

Chatime Malaysia adalah anak syarikat milik penuh Will Group Sdn Bhd yang memasuki Malaysia, pada 2011 dan pemilik jenama global Chatime ialah La Kaffa International Co. Ltd. (La Kaffa).

Aliza berkata, menerusi aplikasi itu, pelanggan boleh memilih minuman tersenarai dalam menu yang disediakan dan menetapkan masa serta lokasi di mana-mana cawangan Chatime untuk mengambil minuman dipesan.

Katanya, pihaknya turut merancang untuk menambah kepada 150 cawangan di Malaysia, pada tahun hadapan berbanding 40 cawangan buat masa ini.

“Kita juga akan membuka empat cawangan baharu, di Sabah sebelum akhir tahun ini sebagai usaha meningkatkan penguasaan pasaran bagi segmen minuman gaya hidup, di Malaysia,

“Banyak permintaan diterima untuk mengembalikan produk Chatime, di Borneo dan pembukaan di Sabah sekali gus melengkapkan laluan strategi jenama bagi pasaran di sana.

“Kami memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM400,000 hingga RM600,000 bagi setiap cawangan yang akan dibuka dan dua rangkaian di Kota Kinabalu, masing-masing Sandakan dan Tawau,” katanya.


Pengarang :