GLOBAL

CSIS: 13 pangkalan peluru berpandu tidak diisytihar Pyongyang

SEOUL, 13 NOV: Sebuah kumpulan pemikir Amerika Syarikat (AS) semalam mengenal pasti sekurang-kurangnya 13 daripada anggaran 20 pangkalan peluru berpandu yang tidak diisytiharkan di Korea Utara, menjejaskan cabaran buat perunding negara Uncle Sam itu untuk memujuk Pyongyang melepaskan senjata nuklear dan peluru berpandu jarak jauh.

Dalam laporan dikeluarkan Pusat Kajian Antarabangsa dan Strategik (CSIS) berpusat di Washington DC, penyelidik berkata, penyelenggaraan dan pembaikan kecil infrastruktur dipantau di sesetengah tapak walaupun rundingan sedang berlangsung.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden AS Donald Trump berikrar untuk berusaha ke arah gencatan senjata dalam pertemuan bersejarah Jun lalu di Singapura namun perjanjian itu tidak menggariskan butiran terperinci manakala rundingan hanya menunjukkan sedikit perkembangan.

Trump menulis di Twitter tidak lama selepas pertemuan itu ‘tiada lagi ancaman nuklear dari Korea Utara.’

Korea Utara mengisytiharkan kekuatan nuklearnya ‘lengkap’ serta menghentikan ujian peluru berpandu dan bom nuklear awal tahun ini namun perunding AS dan Korea Selatan belum membuat pengisytiharan sepenuhnya terhadap saiz atau skop program senjata Pyongyang atau janji menghentikan untuk mengerah senjata sedia ada.

Korea Utara berkata, ia menutup tapak ujian nuklear Punggye-ri dan kemudahan ujian enjin peluru berpandu Sohae. Ia juga meningkatkan kemungkinan menutup lebih banyak kemudahan serta membenarkan pemeriksa antarabangsa jika Washington mengambil ‘langkah bersesuaian,’ yang setakat ini tiada tanda.

Seorang jurucakap Rumah Biru presiden di sini, Kim Eui-kyeom berkata, pegawai perisikan Korea Selatan dan AS memantau rapat tapak menggunakan satelit tentera dan laporan CSIS tidak mengandungi maklumat baharu.

“Korea Utara tidak pernah berjanji menutup pangkalan peluru berpandunya. Ia tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian, rundingan yang menjadikan penutupan pangkalan peluru berpandunya satu mandotori,” kata Eui-kyeom.

Tapak dikenal pasti CSIS dalam laporannya berselerak dan terletak di kawasan terpencil, pergunungan di seluruh Korea Utara dan mungkin digunakan untuk menyimpan peluru berpandu balitisk pelbagai jenis, terbesar dipercayai berupaya menyerang mana-mana tempat di AS.

Laporan CSIS mendapati, Sakkanmol, tapak terhampir dengan sempadan Korea Selatan dan ibu kotanya di sini, jelas ‘aktif dan diurus dengan baik.’

SUMBER: REUTERS


Pengarang :