SUKANKINI

Cub Prix: Tengku Amirul mahu tambah koleksi juara

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 NOV: Walaupun telah mengesahkan status selaku juara keseluruhan kelas CP115, Tengku Amirul Haffirudin tidak memandang mudah saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, 17 dan 18 November ini.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu sebaliknya terus dahagakan kemenangan dan kini mengumpul 188 mata hasil dari tujuh kemenangan dan satu di tempat keempat sepanjang lapan pusingan dengan jauh mengatasi rakan sepasukan, Md Fareez Afeez (kedua) dengan 116 mata.

Selain gelaran keseluruhan individu, pasukan diwakili Tengku Amirul juga muncul juara keseleluruhan berpasukan dengan mengumpul 304 mata ketika ini.

“Misi saya adalah untuk terus meraih kemenangan pada baki dua perlumbaan terakhir musim ini dan pada masa sama merancang strategi untuk membantu Fareez kekal di tangga kedua keseluruhan.

“Walaupun sudah bergelar juara keseluruhan, ini tidak bermakna saya memandang mudah saingan minggu ini sebaliknya mempunyai misi untuk menamatkan musim dengan sembilan kemenangan,” kata Tengku Amirul.

Sementara itu, pemilik pasukan, Pang Yoke You berkata, Tengku Amirul akan kekal beraksi dalam saingan CP115 pada baki dua perlumbaan terakhir musim ini.

“Kami mahu dia terus bersaing merebut kemenangan.

“Mengenai saingan kelas CP150, semuanya akan diputuskan kemudian, bukannya ketika ini,” katanya.


Pengarang :