SUKANKINI

Cub Prix: Yuzy Racing taruh dua pelumba di Jempol

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 14 NOV: Pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing bakal mempertaruhkan dua pelumba bagi menghadapi saingan CP150 pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, 17 dan 18 November ini.

Hanya Azroy Hakeem Anuar dan Amirul Ariff Musa dari pasukan itu akan turun beraksi sementara Harith Farhan Baharin diketepikan selepas menjalani pembedahan lutut, baru-baru ini.

Manakala, Md Aiman Azman dan Shahrol Syazraz Shahrol Yuzy pula kekal membawa cabaran dalam kategori CP115.

Pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata, ketiadaan Harith tidak menjejaskan strategi pasukan dan mengakui beliau berkemungkinan turut tidak dapat beraksi pada pusingan penutup tirai musim 2018 di Johor, Disember depan.

“Kecederaan Harith sudah agak lama maka keputusan melakukan pembedahan ketika ini adalah tepat sebagai persediaan untuk menghadapi musim 2019 nanti dan kita juga harapkan dia dapat pulih dengan segera.

“Cuma strategi awal kami pada minggu ini adalah untuk meletakkan pelumba berpengalaman, Mohd Zaqhwan Zaidi sebagai pengganti di Jempol memandangkan saingan Kejuaraan Seluruh Jepun yang disertainya pada musim ini telah tamat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Zaqhwan terjatuh dan tangannya mengalami kecederaan pada perlumbaan terakhir kategori 1000cc di Jepun, baru-baru ini.

“Maka Zaqhwan tidak dapat beraksi minggu ini dan kemungkinan akan berlumba di Johor nanti sekiranya Harith belum sembuh sepenuhnya,” katanya.


Pengarang :