NASIONAL

Cukai perkhidmatan digital asing pastikan persaingan adil

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital asing yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 akan memastikan persaingan adil dan memupuk persaingan sihat dengan pemain perkhidmatan digital tempatan, kata laman web perbandingan kewangan, RinggitPlus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hann Liew berkata kenaikan cukai dan duti bagi industri perjudian sudah pastinya akan membantu menjana hasil tambahan bagi membangunkan negara dalam aspek lain.

“Dengan Pelan Tindakan Dasar Industri 4.0, kerajaan sudah pastinya mahukan industri yang berinovatif dan sangat berdigital.

“Sebagai satu daripada pemain dalam industri teknologi kewangan, kami gembira dan bersedia untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam perniagaan digital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata Belanjawan itu juga menunjukkan kajian semula dan rundingan semula projek, komitmen dan kewangan yang tegas, dan berharap ia akan menjadi satu kebiasaan yang perlu diamalkan oleh pengguna dengan kewangan peribadi mereka sendiri.

“Walaupun kerajaan mengambil inisiatif untuk menambah baik standard kehidupan kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40), pengguna dalam semua segmen perlu lebih berhemat dalam perbelanjaan mereka.

“Rakyat Malaysia perlu memahami kepentingan pengurusan wang peribadi dan bagaimana mereka boleh memaksimumkan wang tunai mereka ketika negara terus berkembang maju,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :