EKONOMINASIONAL

Dasar pensyarikatan diperkasa galakkan keusahawanan & swasta

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Dasar Pensyarikatan Malaysia akan diperkasakan sejajar dengan pendekatan baharu kerajaan untuk menggalakkan keusahawanan dan penglibatan sektor swasta dalam kegiatan ekonomi serta pembangunan secara keseluruhan.

Dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini, dasar tersebut akan mewujudkan kepercayaan dan kebolehcapaian antara rakyat, profesional, sektor awam dan swasta untuk beroperasi berasaskan konsep syarikat Malaysia.

Bagi mencapai matlamat itu, pelbagai inisiatif dan langkah fasilitasi berimpak tinggi akan diperkenalkan untuk menambah baik dan memperkemas peraturan, perundangan, prosedur dan sistem pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan awam bagi menyokong aktiviti sektor swasta.

“Dasar ini dijangka mencetuskan versi baharu kerjasama awam-swasta (PPP) untuk menggalakkan pelaburan dan keusahawanan dalam negara,” menurutnya.

Dalam aspek ini, pendekatan tukar ganti tanah di bawah PPP akan disemak semula iaitu memisahkan penjualan tanah daripada pembangunan tanah, dengan penjualan dan pembangunan tanah akan dilakukan secara tender terbuka.

“Pada masa yang sama, kerajaan bercadang untuk mengurangkan penglibatan dalam aktiviti perniagaan komersial bagi membolehkan sektor swasra memacu pertumbuhan ekonomi,” menurut laporan itu.

Kerajaan komited untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan proses tender terbuka, pelaburan awam dan merunding semula projek infrastruktur mega.

“Penyusunan semula ini akan membantu mencapai pertumbuhan ekonomi dan dasar fiskal yang mampan dalam jangka panjang. Usaha juga akan dipertingkat untuk meluaskan pasaran eksport negara, selari dengan tahap kecekapan teknologi tinggi,” menurut tinjauan itu.

Di samping itu, firma terutama perusahaan kecil dan sederhana perlu berhenti daripada berada terlalu selesa dan mengejar keuntungan jangka pendek serta kurang melakukan pelaburan untuk masa depan.

“Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan langsung asing jangka panjang dalam pelaburan hijau yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dan menghasilkan ekonomi yang mampan,” menurut laporan itu.

Ia menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan akan dipacu oleh sektor berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan, Objek Rangkaian Internet, pengkomputeran awan dan analisis data raya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :