SELANGOR

Dedah matlamat Smart State kepada masyarakat luar bandar

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATANG KALI, 19 NOV : Masyarakat luar bandar perlu diberi pendedahan mengenai wawasan Kerajaan Negeri untuk menjadi Negeri Pintar (Smart State) menjelang 2025.

Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, penganjuran Jelajah 360° Smart Selangor dijangka dapat merealisasikan matlamat berkenaan.

“Pada masa sama, kita mahu supaya masyarakat tahu dan menikmati kesemua program-program yang disediakan Kerajaan Negeri melalui misi Smart State kali ini.

“Atas keperluan itu program jelajah ini memilih lokasi luar bandar termasuk Kuala Selangor pada bulan lalu, kali ini di Hulu Selangor dan dijangkakan pada Disember akan datang ia akan dianjurkan di Kuala Langat iaitu Pantai Morib,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Jelajah 360° Smart Selangor di Oasis Street Mall, Batang Kali, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Harumaini Omar.

Redzuan berkata, program berkonsepkan karnival yang memasuki siri kedua itu dianjurkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) termasuk Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Katanya, MBI menyediakan trak ‘Smart Selangor Virtual Reality Simulator’ yang memberikan gambaran kepada rakyat mengenai masa depan mengenai Smart State.

“Program kali ini bukan sahaja dipenuhi dengan hiburan, namun sarat dengan program motivasi, ceramah dan juga pelbagai jualan bagi menyokong usahawan tempatan.

“Sekiranya ada yang terlepas peluang, jangan lupa untuk terus bersama Jelajah 360° Smart Selangor pada bulan hadapan di Pantai Morib, anda boleh ikuti laman facebook UNISEL untuk perkembangan lanjut,” katanya.


Pengarang :