GLOBAL

Dua menteri dipecat gagal tangani isu harga kacang gajus

DAR ES SALAAM 12 NOV: Presiden Tanzania, John Magufuli, berkata kerajaan akan membeli semua stok kacang gajus di pasaran, selepas bertindak memecat dua menteri dan memansuhkan undang-undang terbabit, susulan masalah harga komoditi berkenaan.

Bulan lalu, Magufuli mengarahkan peningkatan sebanyak 94 peratus harga kacang gajus pada majlis lelongan anjuran pengawal selia industri itu, selain memecat ketuanya, bagi menjaga kebajikan petani daripada masalah harga yang tidak stabil.

Kacang gajus adalah hasil eksport utama negara di timur Afrika berkenaan, tetapi masalah penurunan harga menjejaskan hasil jualan petani di Tanzania.

 

Malah, kos operasi penanaman kacang gajus itu dilaporkan lebih tinggi berbanding harga yang ditawarkan pembeli.

Semalam, Presiden Magufuli, mengumumkan pemecatan Menteri Pertanian, Charles Tizeba dan Menteri Perdagangan, Charles Mwijage daripada jawatan mereka.

Susulan itu, Japhet Hasunga dan Joseph Kakunda, masing-masing dilantik sebagai Menteri Pertanian serta Menteri Perdagangan yang baru.

Selain itu, Magufuli turut membubarkan lembaga pengarah agensi yang bertanggungjawab terhadap kacang gajus, kerana didakwa gagal mengawal selia industri itu dengan baik, hingga mengakibatkan berlakunya penurunan harga.

Pada masa sama, Kerajaan Tanzania turut meminta pembeli kacang gajus mengemukakan pelan pembelian mereka selewat-lewatnya esok.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :