GLOBAL

Dua pakar kimia Arab Saudi dihantar ‘tutup’ kes pembunuhan Khashoggi

ISTANBUL 6 NOV: Arab Saudi menghantar seorang pakar toksikologi dan seorang pakar kimia bagi menutup kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi sebelum polis Turki menggeledah konsulat Arab Saudi di negara itu, kata pegawai kanan Turki hari ini.

“Kami mempercayai bahawa dua individu datang ke Turki dengan bertujuan untuk menutup bukti pembunuhan Khashoggi sebelum polis Turki dibenarkan menggeledah bangunan itu,” kata seorang pegawai enggan nama disiarkan.

Bagaimanapun, pegawai itu mengesahkan satu laporan dalam akhbar Sabah yang menyatakan bahawa pakar kimia, Ahmad Abdulaziz al-Janobi dan pakar toksikologi, Khaled Yahya al-Zahrani antara sebuah pasukan yang dihantar daripada Arab Saudi dengan bertujuan untuk menyiasat pembunuhan terbabit.

Laporan itu menyatakan mereka melawat konsulat setiap hari sejak tiba pada 11 Oktober hingga 17 Oktober lalu.

Turki berkata, Khashoggi dibunuh di dalam konsulat pada 2 Oktober, bagaimanapun Arab Saudi hanya membenarkan polis Turki menggeledah konsulat pada 14 Oktober.

“Faktanya, pasukan ‘pembersihan’ dihantar daripada Arab Saudi, sembilan hari selepas pembunuhan itu dan pembunuhan Khashoggi adalah dalam pengetahuan pegawai tertinggi Arab Saudi,” tambahnya.

SUMBER: AFP

 


Pengarang :