NASIONAL

E-voting jimat masa

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 NOV: Pelaksanaan sistem e-voting pada pemilihan KEADILAN dilihat mampu menjimatkan masa berbanding sistem tradisional.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, sistem itu amat efisien berbanding menggunakan kiraan undi manual yang mengambil masa agak lama.

“Saya memuji langkah KEADILAN menggunakan sistem e-voting kerana kita sudah tidak perlu mengambil masa lama untuk menantikan keputusan undi.

“Namun, tidak dapat dinafikan masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki jika mahu digunakan lagi pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, beliau memuji sistem e-voting kerana ia mengajar masyarakat untuk maju ke satu tahap lebih tinggi daripada sistem tradisional.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa kelemahan perlu diperbaiki antaranya penyediaan latihan kepada pegawai yang mengendalikan sistem itu.

“Latihan amat penting kerana ia pertama kali dilaksanakan dan semua perlu memahami cara menguruskan e-voting supaya tidak berlaku kekecohan, pada hari pengundian.

“Bagaimanapun, perkara ini akan saya usulkan di peringkat kepimpinan supaya ia dapat diperbaiki dan diperhalusi,” katanya.


Pengarang :