Selangorkini
SELANGOR

EXCO: Semak semula syarat letak kerusi meja di luar premis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Negeri akan menyemak semula syarat sedia ada atau garis panduan meletakkan kerusi meja di luar premis.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, hal itu termasuk mengambil kira faktor keselamatan orang awam.

“Faktor keselamatan sentiasa menjadi tumpuan utama kerajaan negeri.

“Justeru, Kerajaan Negeri menggesa para pemandu supaya lebih berhemah dan lebih berhati-hati khususnya di kawasan tumpuan ramai,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han berkata, pengusaha restoran juga perlu mematuhi segala garis panduan dan peraturan PBT demi keselamatan pelanggan.

“Kerajaan Negeri faham agar permintaan pengusaha restoran dan pelanggan restoran makan di jalan awam.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan menyemak syarat sedia ada dan akan mengambil kira faktor keselamatan,” katanya.

Ahad lalu, dalam kejadian kira-kira 8.15 malam, seorang wanita berusia 57 tahun maut manakala empat lagi cedera apabila kenderaan pancuan empat roda merempuh pelanggan yang duduk di tempat terbuka sebuah restoran di Taman Equine.

Terdahulu, Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye turut menyarankan agensi berkaitan khususnya PBT perlu memperkenalkan dasar mengawal keselamatan orang ramai ketika makan di jalan-jalan awam.

Kejadian sama pernah berlaku pada Jun 2003 di Seksyen 14, Petaling Jaya apabila sebuah kereta merempuh pelanggan yang duduk di luar restoran mamak 24 jam.


Pengarang :