SELANGOR

Fokus pemerkasaan ekonomi rakyat & golongan muda

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 4 NOV: Belanjawan Negeri 2019 yang akan dibentangkan hujung bulan ini dijangka akan memfokuskan kepada pemerkasaan ekonomi rakyat termasuk golongan muda.

Exco Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, bantuan pendidikan juga dijangka bertambah.

“Sudah tentu bantuan-bantuan ini ditingkatkan namun kita perlu sedar dan mengambil kira pendapatan negeri.

“Belanjawan 2019 kali ini mungkin perlu lebih berhemah dan menjaga simpanan, apa yang penting adalah mengangkat semua kaum untuk keluar dari belenggu kemiskinan.

“Justeru, program pemerkasaan dan pemberdayaan ekonomi perlu diteruskan. Namun, program bersifat ‘goodies’ tidak seharusnya diteruskan kerana adalah lebih baik kita memperkasakan golongan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Ganabatirau berkata, selaras dengan negeri maju, Kerajaan Negeri perlu mengutamakan peruntukkan infrastruktur.

“Ini termasuk menangani masalah banjir dan jalan rosak yang masih membelenggu rakyat negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Belanjawan 2019 Negeri Selangor dijangka memberikan tumpuan kepada potensi pembangunan di semua peringkat di samping menilai serta memperkasakan semua program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selepas 10 tahun tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri berubah, pendekatan baharu perlu dilakukan supaya semua perancangan dapat dilaksanakan dengan baik serta sampai kepada rakyat.

=EZY=


Pengarang :