SELANGOR

Fokus usaha tingkatkan ciptaan inovasi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan terhadap usaha merancakkan kreativiti dan produktiviti melalui kepelbagaian ciptaan inovasi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, pucuk kepimpinan negeri juga sentiasa memikirkan kaedah terbaik menyediakan ruang dan peluang kepada semua penggiat inovasi menonjolkan idea masing-masing.

Katanya, ia termasuk menganjurkan pertandingan, pameran, konvensyen mahupun majlis ilmu berkaitan dalam menggalakkan pembabitan penjawat awam untuk terus meningkatkan mutu penyampaian kepada rakyat.

 

“Sebagai buktinya, sepanjang 2018, pelbagai program inovasi dilaksanakan antaranya Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringat Negeri Selangor (MPIPANS), Anugerah Inovasi Negeri Selangor (AINS), Karnival Jejak Inovasi dan beberapa program lain yang merangkumi penglibatan semua pihak.

“Program ini bukan hanya menyasarkan kepada perkhidmatan awam, malahan menjadi medium untuk segenap masyarakat hingga ke peringkat akar umbi bagi mempromosi dan memperkenalkan hasil inovasi masing-masing ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Selangor 2018, di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Terdahulu, lebih 300 inovasi pelbagai kategori termasuk sektor awam, swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah dan badan bukan kerajaan dipertandingkan.

Mengulas lanjut, Mohd Amin berkata, jumlah penyertaan dari semua daerah di Selangor turut menunjukkan peningkatan cukup ketara, sekali gus membuktikan program sedemikian mendapat tempat di hati komuniti.

“Mahasiswa di IPT juga berjaya menghasilkan inovasi yang mampu menyumbang ke peringkat lebih tinggi seperti projek satelit Nano ‘UiTMSAT-1’ hasil ciptaan anak-anak muda Universiti Teknologi Mara.

“Kapal tanpa kawalan manusia atau ‘Unmanned Surface Vessel’ yang diberi nama ‘todak’ oleh pensyarah dan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah memberi impak besar kepada organisasi dan negeri,” katanya.


Pengarang :