SELANGOR

FTZ di Pulau Indah langkah positif tarik FDI

SHAH ALAM, 3 NOV: Cadangan kerajaan untuk mengkhususkan 153.78 hektar kawasan di Pulau Indah sebagai Zon Perdagangan Bebas (FTZ) merupakan satu langkah positif dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan daripada peserta global dan mentransformasikan Selangor kepada hab logistik serantau.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan Selangor, Dato’ Teng Chang Kim berkata cadangan itu akan lebih membantu bagi memudahkan urusan menjalankan perniagaan di Pulau Indah.

“FTZ akan membantu menarik pelaburan langsung asing (FDI) mewujudkan kilang pembuatan di Pulau Indah, dan inilah sesuatu yang disokong oleh kerajaan Selangor,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen.

Lim berkata, langkah itu akan menyokong dan memangkin aktiviti perkapalan dan logistik di Pelabuhan Klang.

Mengulas lanjut, Teng berkata pemaju tanah perindustrian di Pulau Indah, Central Spectrum (M) Sdn Bhd, pada masa ini membangunkan sebahagian Pulau Indah, boleh meraih manfaat daripada cadangan tersebut.

Beliau berkata, cadangan itu akan membolehkan pengilang di pulau itu mengeksport produk mereka secara kompetitif ke pasaran antarabangsa, sekali gus menikmati pengecualian cukai eksport dan cukai lain.

Teng berkata, ia juga akan meningkatkan ranking Pelabuhan Klang, yang pada masa ini di kedudukan ke-12 pelabuhan kontena terbesar di dunia,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :