Selangorkini
NASIONAL

FundMyHome kemudahan miliki rumah pertama

OLEH SHEEDA FATHIL

SEMENYIH, 4 NOV: Portal hartanah baharu FundMyHome dilancarkan sebagai usaha memberikan kemudahan kepada lebih ramai rakyat memiliki rumah pertama mereka.

Portal itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di EcoWorld Gallery, Eco Majestic, di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Pengasas Eco World Development Group Berhad, Tan Sri Rashid Abdul Manaf.

Difahamkan, EdgeProp Sdn Bhd selaku penyelaras portal berkenaan menawarkan kira-kira 1,000 unit kediaman pada fasa pertama pelancaran dengan merangkumi nilai hartanah pada bawah RM500,000.

Di bawah konsep FundMyHome, pembeli cuma perlu membayar 20 peratus daripada harga hartanah untuk memiliki rumah, dengan pelbagai pilihan kediaman bertingkat dan bertanah pada harga dan lokasi berbeza yang dipaparkan di FundMyHome.com.

Menariknya, sekiranya komitmen 80 peratus sebagai baki pembiayaan unit hartanah tidak dicapai pada tempoh ditetapkan, yuran tempahan akan dipulangkan tanpa sebarang caj faedah.

Namun, sekiranya pembiayaan unit dapat dicapai, pembeli perlu menandatangani dokumen perjanjian dan secara rasmi kediaman itu menjadi milik mereka untuk tempoh komitmen selama lima tahun.

Kebanyakan rumah di portal itu kini sudah siap dan hampir siap, membolehkan pembeli untuk berpindah masuk sejurus selepas menyempurnakan proses pembelian.

Selain itu, pembeli juga boleh menyewakan rumah untuk mendapatkan pendapatan sewa sekali gus melepaskan dana mereka untuk komitmen lain dan mengurangkan kebergantungan kepada hutang.

Penawaran hartanah berkenaan membabitkan sembilan pemaju iaitu EcoWorld Development Group Berhad; IJM Land Berhad; IOI Properties Group Berhad; Mah Sing Group Berhad; Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS); Permodalan Nasional Berhad (PNB) Development Sdn Bhd; Sunway Berhad; Trinity Group Sdn Bhd dan UEM Sunrise Berhad.

Menerusi konsep FundMyHome, pembeli rumah mempunyai pilihan sama ada untuk menjual atau terus menghuni kediaman masing-masing selepas tempoh komitmen tetap, iaitu lima tahun.

Mereka yang memilih untuk terus mendiami kediaman boleh membiayai semula rumah itu menerusi FundMyHome.com atau melalui pinjaman bank, yang ketika ini merangkumi Kumpulan Maybank dan CIMB.


Pengarang :