NASIONAL

Gandingan Anwar-Azmin terajui KEADILAN 2018-2021

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan meneruskan kepimpinan KEADILAN bagi penggal 2018-2021.

Anwar yang dipilih selaku Presiden KEADILAN selepas menang tanpa bertanding sementara Mohamed Azmin mengekalkan kedudukan selaku Timbalan Presiden selepas menewaskan pencabarnya, Rafizi Ramli.

Posisi Naib Presiden pula dianggotai Nurul Izzah Anwar, mantan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamarudin, Tian Chua dan Dr Xavier Jayakumar.

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) akan dipimpin Akmal Nasrullah Mohd Nasir manakala Muhammad Hilman Idham bertindak selaku Timbalan Ketua AMK.

Haniza Talha akan mengemudi Wanita KEADILAN manakala Dr Daroyah Alwi bertindak selaku Timbalan.

Manakala 20 pemimpin KEADILAN termasuk Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengisi kedudukan selaku Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Pengumuman kepimpinan baharu itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Rashid Din.

Rashid kelihatan sebak dalam ucapannya turut berterima kasih kepada semua pengundi dan ahli JPP yang menjayakan pemilihan parti walaupun berhadapan teguran dan kritikan daripada pelbagai pihak.

Dalam perkembangan sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Ahmad Kasim dilantik sebagai Pengerusi Tetap KEADILAN baharu bagi menggantikan Ismail Yusof yang telah berkhidmat selama tiga penggal.

Manakala Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Wliayah Persekutuan, Osman Karim dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Tetap KEADILAN bagi menggantikan Abdul Wahab Ibrahim.

Datuk Seri Saifuddin Nasution pula kekal sebagai Setiausaha Agung KEADILAN sehingga lantikan baharu dibuat.

 


Pengarang :