EKONOMI

Getah kekal pada paras semasa minggu depan

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan pada paras semasa minggu depan, berikutan pelabur dijangka mengekang minat belian.

Pasaran getah dijangka mengambil petunjuk daripada pergerakan harga di pasaran getah serantau dan minyak mentah, selain prestasi ringgit terhadap dolar US.

“Peniaga tidak akan memasuki pasaran berikutan menantikan hala tuju pasaran yang lebih jelas,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ringgit yang lemah berbanding dolar US akan menyokong permintaan dan mengekang penurunan harga.

Sementara itu, katanya pasaran getah serantau, yang terus lemah disebabkan penurunan harga minyak mentah, telah menyumbang kepada aliran penurunan dalam pasaran.

Harga minyak turut cenderung untuk mempengaruhi harga getah berikutan peningkatan dan penurunannya akan menentukan harga saingan getah asli — getah sintetik.

Pasaran turut mengambil perhatian mengenai amaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai pertumbuhan global yang perlahan dengan unjurannya bagi 2018-2019 pada 3.7 peratus.

Pasaran turut dijangka terus berhati-hati mengenai perang perdagangan AS-China, yang dijangka berlarutan, menurut penganalisis.

Bagi minggu baru berakhir, harga getah diniagakan kebanyakannya rendah.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut 4.5 sen kepada 510 sen sekilogram, manakala susu getah pukal merosot 12 sen kepada 378 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi 5 petang bagi SMR 20 berkurangan lima sen kepada 511 sen sekilogram, manakala susu getah pukal turun 15.5 sen kepada 377.5 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :