SASTERA

Ghagha nak kucup Peghancis

Oleh Syafiq Ghazali

 Rara cintakan Mazlan. Cuma lelaki itu berlidah pendek. Hal itu tidak akan menjadi masalah buat Rara kalau bukan kerana dia seorang yang sangat suka berkucup.

Mazlan tidak pernah menyorok soal lidah pendeknya itu kepada Rara, malah sesiapa pun. Mereka berdua bertemu buat pertama kali di sebuah kafe, di mana Rara datang selaku seorang klien dan Mazlan pula seorang designer. Hari itu, Mazlan sudah pun memanggil Rara sebagai “Ghagha” sewaktu perkenalan nama masing-masing. Setelah berborak beberapa ketika,  Rara sedar lelaki itu tidak boleh menyebut huruf R dengan sempurna. Namun itu langsung tidak mengganggu percakapannya. Rara juga merasakan sebutan canggung R itu kedengaran comel di telinganya. Tapi yang lebih penting lelaki itu melontar pendapatnya dengan yakin, tanpa rasa inferior sedikit pun. Adalah hal itu yang membuatkan Rara tertarik kepada Mazlan, lebih-lebih lagi di hujung perbualan mereka, lelaki itu dengan bersahaja mengaku kekurangan lidahnya. Saat itu, Rara yakin Mazlan adalah material teman lelaki yang baik.

Pertemuan itu berganjak menjadi beberapa pertemuan lagi, sehinggalah mereka secara rasminya bercinta. Memilih Mazlan, Rara sedikit pun tidak menyesal. Tambahan pula apabila dia menyedari kekasihnya itu hidup bukan sekadar untuk hidup. Selain pekerjaan hakiki selaku designer, Mazlan juga seorang aktivis alam sekitar di waktu lapangnya. Begitupun, dia sangat serius melakukannya, hingga temu janji mereka berdua selalu dikorbankan jika sebarang aktiviti melibatkan alam sekitar muncul dalam jadual Mazlan. Tapi Rara tidak pernah kisah atau bersungut. Malah dia sendiri pernah menyertai Mazlan dan rakan-rakan aktivisnya ketika berdemonstrasi mini di depan pejabat Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Waktu itu, isu pembalakan haram sedang hangat.

Tapi itulah, Rara seorang yang suka berkucup. Dan Mazlan sendiri mengerti kesukaan teman wanitanya itu. Mereka berdua sering berkucupan jika masa dan situasi membenarkannya. Dari kucupan seringkas Eskimo, seintim kucupan bibir atas bawah, hinggalah sehangat kucupan gigitan, semua mereka sudah mahir mempraktikkannya. Cuma Rara rasa pengalaman kucupannya belum sempurna, kerana tinggal satu lagi kucupan yang belum berjaya dikuasainya. Kucupan itu kucupan Perancis, dan sebabnya adalah lidah pendek Mazlan.

Semua orang tahu tahu ia kucupan paling agung dalam hierarki kucupan. Hanya dengan membacanya dalam novel atau menontonnya di kaca TV, Rara sudah dapat membayangkan keenakan kucupan itu. Kerana itu dia benar-benar mahu melakukannya sesempurna mungkin, tapi hanya dengan Mazlan, cinta sejatinya.

Sudah tentulah dia pernah berkucupan Perancis dengan Mazlan. Tapi setiap kalinya Rara merasa tidak puas. Kerana kependekan lidah Mazlan, Rara tidak dapat menikmatinya secara menyeluruh.  Dari pihaknya, dia dapat meneroka setiap inci lidah Mazlan, tapi lelaki itu pula sebaliknya. Lidah pendeknya hanya mampu mencuit sedikit bahagian dalam lidah Rara. Sedangkan Rara mengharapnya lidah Mazlan dapat menjangkau hingga ke pangkal lidahnya dan mengulum dan meratah seluruh bahagian indera pengecapnya itu dengan penuh keghairahan dan kecintaan.

Pelbagai cara difikirkan Rara untuk mengatasi masalah itu, namun semuanya menemui jalan buntu. Kebuntuan itu berlarutan sehinggalah, satu hari, dia terlihat rakan sekerjanya, Candice, sedang berkucupan dengan seorang lelaki di sebuah kafe. Sudah tentulah ia kucupan Perancis. Yang menakjubkan Rara bukanlah hakikat lelaki itu bukannya Richard, kekasih Candice, tetapi tempoh masa kucupan itu yang begitu panjang, dan keghairahan yang belum pernah disaksikannya selama ini. Ia umpama kucupan Perancis yang hanya akan ditemui sekali sepanjang hidupmu.

Esoknya, di pejabat, Rara menyindir Candice tentang hal itu. Candice sedikit pun tidak terkejut, juga tidak berdolak-dalik. Dia malah menawarkan lelaki itu kepadanya. “He’s a really good kisser. No one compares to him,” kata Candice, tersengih-sengih. “I boleh bagi nombor dia, kalau you nak. I tak kisah. And don’t worry, Mazlan will never know.”

Rara menyalin nombor lelaki itu—Eric namanya—tapi bukan atas tujuan sepertimana dibayangkan Candice. Dia mahu bertemu Eric semata-mata kerana ingin mengetahui rahsia kucupannya. Dia menelefon lelaki itu, dan satu malam, di kafe di mana dia terlihat Candice, mereka membuat janji temu.

Waktu dia tiba, Eric sudah pun menunggu di meja. Lelaki itu, selayaknya seorang gentleman, bangkit dan mahu menarik kerusi bagi pihaknya, tapi cepat-cepat duduk sebaik Rara menyatakan dia tiada niat selain ingin mengetahui rahsia kucupannya saja. Eric pamerkan riak kecewa, hinggalah Rara menjelaskan duduk perkara yang terjadi.

Eric berfikir seketika, sebelum bibirnya mengukir senyuman halus. Kemudian dia membuka mulut. Lidahnya terjelir keluar. Rara tergamam: ia lidah terpanjang yang pernah dilihatnya.

Setelah memastikan Rara sudah cukup terpegun, Eric menutup mulut. Kemudian dia menggagau kocek seluarnya dan mengeluarkan sebiji botol bersaiz kelingking. Dia meletaknya di depan Rara. Isinya cecair berwarna hitam.

Melihat kerut pertanyaan muncul di dahi Rara, Eric berkata: “Lidah I jadi sepertimana you lihat sekarang disebabkan minyak ni lah—minyak ular.”

Rara masih berkerut. Eric pun menjelaskan minyak itu dibelinya daripada seorang pengamal perubatan mistik, dan ia sangat sukar diperolehi. Tapi cara gunanya sangat mudah: lumur saja pada lidah. Lama-kelamaan ia akan memanjang dengan sendiri. “Macam lidah ular,” sambung Eric dengan senyuman nakal.

Mendengarnya, Rara sedikit kecewa. Sebagai wanita urban, dia tak sangka penyelesaian kepada dilemanya selama ini begitu konservatif. Namun dia tiada pilihan. Ini demi kepuasannya, dan juga kualiti hubungannya dengan Mazlan. Lalu dia terus mendesak untuk membeli minyak itu. Eric keberatan mulanya, tapi setelah melihat kesungguhan Rara dan merasakan tawarannya lumayan, dia bersetuju.

Malam itu Rara pulang dengan sebotol penyelesaian bersaiz kelingking. Sekarang tinggal soal bagaimana mahu melumurnya ke lidah Mazlan. Lakukannya ketika Mazlan tidur? Atau berterus-terang saja dan membiarkan Mazlan melumurnya sendiri? Dia berfikir dan merasakan hal itu boleh ditangguh kemudian. Mazlan sekarang berada di Gua Musang, sedang berkampung di penempatan orang Asli yang telah dijarah pembalak haram. Dia hanya akan pulang dua hari lagi.

Dua hari itu digunakan Rara untuk menimbang-nimbang keputusan terbaik, dan akhirnya dia mencapai kata putus. Berterus-terang adalah solusi paling ideal. Dia percaya ia yang terbaik untuk hubungan mereka berdua, malah boleh jadi akan lebih mengeratkannya.

Hari Mazlan pulang, Rara sudah pun menunggu di depan pintu. Minyak ular ketat dalam genggamannya. Pintu terbuka dan wajah kekasihnya muncul dalam pandangan. Rara tersenyum lebar. Mereka berdua berpeluk, dan Rara merasa bahagia dalam pelukan itu. Dan dia tahu bahagianya itu akan makin melonjak bila impian untuk berkucup Perancis dengan Mazlan terlunas.

Sebaik pelukan terlerai, Rara bersedia membuka genggamannya. Segala hal-hal yang manis dan berwarna pelangi melintas di ekor matanya.

Waktu itulah Mazlan menjelir lidahnya.

Botol minyak ular terlucut dari tangan Rara dan jatuh ke lantai, berderai. Dia ternganga. Matanya terpaku pada lidah Mazlan—ia tinggal suku, dan ada kesan jahitan di hujungnya.

Rara masih terlopong waktu Mazlan mengangkat tangan dan menggerak-gerakkan jarinya. Dia tak pernah belajar bahasa isyarat, jadi dia langsung tak mengerti apa yang sedang dikatakan Mazlan saat itu.

“Ini protes bisu, sayang. Sebab telinga mereka tuli!”


Pengarang :